Pengenalan

Menerajui Mobiliti Masa Hadapan

Menghubungkan Komuniti, Budaya dan Perniagaan

Video: mrl.com.my
Panduan Pelancong · Dikemas kini Ogos 2026

ECRL Terengganu Kereta Api Pertama Dalam Sejarah Negeri

Selepas berdekad-dekad hanya bergantung pada jalan raya, Terengganu akhirnya dapat 6 stesen kereta api. Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dalam lingkungan 3 jam. Ini panduan lengkap — stesen mana untuk destinasi mana, apa yang dah disahkan, dan apa yang masih belum.

Hari
Jam
Minit
Saat

Sasaran operasi komersial Fasa 1 (Kota Bharu – Gombak): Januari 2027

Tren EMU ECRL
6Stesen di Terengganu
242 kmJajaran Besut – Kemaman
~3 jamGombak → Kuala Terengganu
160 km/jKelajuan maksimum
95.08%Kemajuan projek (Ogos 2026)
Projek ECRL

Projek ECRL: Laluan Rel Pantai Timur

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sekadar projek kereta api — ia antara pelaburan infrastruktur terbesar dalam sejarah negara. Dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Republik Rakyat China di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), ECRL menghubungkan Pantai Timur terus ke nadi ekonomi Pantai Barat.

Di sebalik projek ini: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) selaku pemilik aset, dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) selaku kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Lebih daripada sekadar landasan 665 km, ECRL ialah komponen penting strategi kelestarian negara di bawah Rangka Kerja Sukuk SDG — bukti komitmen Malaysia membina masa hadapan yang mampan, dari pantai ke pantai.

Reka Bentuk Stesen Utama ECRL

Reka bentuk Terminal Bersepadu GombakTerminal Bersepadu Gombak
Reka bentuk Stesen Kota BharuKota Bharu
Reka bentuk Stesen KotaSASKotaSAS
Reka bentuk Stesen Kuala TerengganuKuala Terengganu

Spesifikasi dalaman stesen (parking, ruang niaga, kemudahan) belum diumumkan secara rasmi.

Infografik Laluan ECRL

Infografik laluan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak

Imej & video: mrl.com.my · ecrl.com.my · Infografik: Discovery Terengganu

Peta Interaktif

Laluan ECRL di Terengganu

Klik mana-mana stesen pada peta untuk lihat lokasi sebenar dan destinasi pelancongan berdekatan.

Henti Ekspres Transit Jajaran ECRL
KE KOTA BHARU KE KUANTAN / GOMBAK

Kedudukan stesen berdasarkan lokasi tapak yang diumumkan · jarak adalah anggaran jalan raya. Sahkan di Google Maps sebelum bertolak.

Enam Pintu Masuk

Stesen ECRL Terengganu — dan di mana sebenarnya ia terletak

Ini bahagian yang paling ramai orang silap. Nama stesen tak semestinya sama dengan lokasi stesen. Kami senaraikan lokasi sebenar supaya anda boleh rancang pengangkutan lanjutan dari awal.

Stesen Jertih

Daerah Besut
Transit
Terletak di kawasan Kg Alor Keladi, lebih kurang 8.7 km (~13 minit) dari pekan Jerteh.
  • Jeti Kuala Besut → Pulau Perhentian~25 km · 30 min
  • Pekan Jerteh~8.7 km · 13 min
  • Sempadan Kelantan~20 km
Pintu masuk paling dekat ke Pulau Perhentian.

Stesen Bandar Permaisuri

Daerah Setiu
Transit
Paling rapat dengan pekan antara semua stesen Terengganu — hanya ~1.2 km (~2 minit) dari Bandar Permaisuri.
Pilihan terbaik untuk Merang, Bidong dan Setiu Wetlands.

Stesen Kuala Terengganu

Daerah Marang
Ekspres
Walaupun namanya Kuala Terengganu, stesen ini sebenarnya di Kg Durian Guling, daerah Marang — lebih kurang 23 km (~27 minit) dari pusat bandar KT.
Satu-satunya henti ekspres di Terengganu & pusat TOD tahap bandar (T2).

Stesen Dungun

Daerah Dungun
Transit
Di kawasan Batu 7, Sura — lebih kurang 6.7 km (~10 minit) dari Kuala Dungun. Stesen penumpang dan kargo.
  • Rantau Abang (pesisir penyu)~14.5 km · 16 min
  • Kuala Dungun & Pantai Teluk Lipat~6.7 km · 10 min
  • Taman Eko Bukit Bauk~3 km
Pintu masuk institusi pendidikan & pesisir Rantau Abang.

Stesen Kemasik

Daerah Kemaman
Transit
Nama Kemasik, tapi lokasi fizikalnya bersebelahan Kerteh — ~5.6 km dari pekan Kerteh, ~8–9.5 km dari Pantai Kemasik.
  • Pantai Kemasik~8–9.5 km · 12 min
  • Pekan Kerteh~5.6 km · 6 min
  • Lapangan Terbang Kerteh~4 km
Menyokong aktiviti industri gas & petroleum.

Stesen Chukai

Daerah Kemaman
Transit
Di Mukim Binjai, sekitar Jalan Air Putih — lebih kurang 8.2 km (~13 minit) dari pekan Chukai. Stesen penumpang dan kargo.
Pintu masuk selatan Terengganu, hujung jajaran negeri.
Fahami Dulu Sebelum Beli Tiket

Perkhidmatan ECRL: Ekspres dan Transit bukan benda yang sama

ECRL akan menawarkan dua jenis perkhidmatan penumpang. Beza dia besar, terutamanya kalau anda nak turun di Jertih, Dungun atau Chukai.

Ekspres Berhenti di stesen utama sahaja: Gombak → KotaSAS → Kuala Terengganu → Kota Bharu. Paling laju, paling sedikit hentian.
Transit Berhenti di semua stesen termasuk Jertih, Bandar Permaisuri, Dungun, Kemasik dan Chukai. Perjalanan lebih lama tapi liputan penuh.
Kargo berasingan Tren kargo dan tren penumpang adalah tren yang berbeza — bukan digabungkan dalam satu rangkaian yang sama.

Nota penting: perkhidmatan dijangka beroperasi secara segmen atau loop, bukan semuanya hujung ke hujung. Jadual waktu rasmi masih belum dikeluarkan.

Anggaran Rasmi

Berapa lama perjalanan ECRL sebenarnya?

Angka di bawah adalah anggaran yang dinyatakan oleh pihak berkuasa. Jadual waktu penuh dan kekerapan tren belum diumumkan.

Infografik rasmi masa perjalanan ECRL

Infografik rasmi ecrl.com.my — masa perkhidmatan ekspres. Jadual di bawah adalah anggaran pelbagai sumber rasmi; angka mungkin berbeza sedikit mengikut jenis perkhidmatan.

LaluanDengan ECRLJalan rayaJimat
Gombak ↔ Kuala Terengganu~3 jam6–7 jam~3 jam
Gombak ↔ Kota Bharu~4 jam~7 jam~3 jam
Gombak ↔ KotaSAS (Kuantan)1 jam 35 min~3 jam~1.5 jam
Kuala Terengganu ↔ Kota Bharu~1 jam 30 min~2.5 jam~1 jam
Kuala Terengganu ↔ Kuantan~1 jam 45 min~3 jam~1 jam
Notis Rasmi

Tambang ECRL: masih belum diumumkan

Setakat Ogos 2026, tiada kadar tambang rasmi telah dikeluarkan. Malaysia Rail Link (MRL) telah menafikan secara khusus angka RM80–RM110 yang tular di media sosial — ia bukan kadar sebenar.

Kadar tambang sedang dimuktamadkan bersama pihak berkepentingan termasuk APAD, dan akan diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebelum tarikh operasi.

Sebarang angka tambang yang anda jumpa di Facebook, Threads atau TikTok setakat ini adalah anggaran peribadi orang ramai, bukan maklumat rasmi. Jangan buat bajet percutian berdasarkan angka tersebut.

Status Pembinaan

Sejauh mana projek ECRL dah siap?

Kemajuan setakat kenyataan terkini Menteri Pengangkutan dan exco negeri.

95.08%Keseluruhan projek ECRL (Ogos 2026)
99.45%Jajaran Terengganu (Jun 2026)
430Kapasiti setiap set tren penumpang (angka rasmi MRL)
~10,000Kapasiti penumpang sehari pada peringkat awal — 10 set tren, 2–3 trip sehari setiap set
Garis Masa

Garis masa ECRL: apa yang dah berlaku, apa yang akan datang

  • Januari 2026
    Set tren penumpang pertama tiba di KuantanSelesaiTren dibina oleh CRRC Dalian, kelajuan sehingga 160 km/j.
  • Februari 2026
    Projek cecah 91.7%, masuk fasa persediaan operasiSelesaiMajlis ketibaan tren diadakan di Stesen ECRL KotaSAS.
  • Jun – Julai 2026
    Jajaran Terengganu cecah 99.45%SelesaiAntara yang tertinggi selepas Kelantan.
  • Ogos 2026
    Pengaliran kuasa selesai di 10 stesen bekalan kuasaSelesaiUjian Integrasi Sistem (SIT) sedang berjalan.
  • September 2026
    Fault-Free Run (FFR) bermulaAkan Datang8,000 km ujian setiap satu bagi set EMU dan lokomotif elektrik, diselia APAD.
  • Disember 2026
    Sasaran siap sepenuhnya Fasa 1Akan DatangJajaran Kota Bharu – Gombak.
  • Januari 2027
    Operasi komersial bermulaSasaranMenteri Pengangkutan menyasarkan rakyat Pantai Timur boleh balik kampung naik ECRL menjelang Aidilfitri 2027.
  • Januari 2028
    Fasa 2: Gombak – Port KlangSambungan ke pantai barat dan hab logistik Port Klang.
Cakap Jujur

Harga tiket ECRL & jadual: perkara yang anda perlu tahu sebelum rancang percutian

Kami tak nak jual mimpi. Ini isu sebenar yang masih terbuka setakat Ogos 2026.

Last-mile belum ada Setakat ini tiada rangkaian bas perantara, shuttle, operator atau kadar tambang yang diumumkan bagi mana-mana stesen ECRL di Terengganu. Rancang untuk e-hailing, teksi atau sewa kereta dari stesen.
Stesen jauh dari bandar Kecuali Bandar Permaisuri, kebanyakan stesen terletak 6–23 km dari pusat pekan masing-masing. Stesen Kuala Terengganu paling ketara — ~23 km dari pusat bandar.
Jadual waktu belum keluar Tiada waktu tren pertama, tren terakhir mahupun kekerapan yang diterbitkan. Jangan komited pada penerbangan sambungan atau booking pakej sebelum jadual rasmi keluar.
TOD masih di peringkat awal Kerajaan negeri menandatangani MoU dengan MRL pada November 2025 untuk pembangunan TOD. Fasa 1 di enam stesen dianggarkan memerlukan RM228 juta, termasuk terminal transit. Jangka masa 1–3 tahun.
Soalan Lazim

Soalan lazim ECRL Terengganu — yang paling ramai orang tanya

Operasi komersial Fasa 1 (Kota Bharu ke Gombak) disasarkan bermula Januari 2027. Setakat 14 Ogos 2026 tiada penangguhan diumumkan, malah Menteri Pengangkutan mencabar MRL dan CCCC untuk buka lebih awal daripada jadual.

Belum diumumkan. MRL mengesahkan pada Jun 2026 bahawa tiada kadar rasmi dikeluarkan, dan menafikan angka RM80–RM110 yang tular. Kadar akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas kelulusan APAD, sebelum tarikh operasi.

Ada dua pilihan jeti. Melalui Jeti Shahbandar Kuala Terengganu — ~23 km (26 minit) dari Stesen ECRL Kuala Terengganu. Atau melalui Jeti Merang — ~35 km (34 minit) dari Stesen Bandar Permaisuri. Pilih ikut pakej resort anda.

Stesen Jertih di daerah Besut. Dari situ ke Jeti Kuala Besut lebih kurang 25 km (~30 minit). Ambil perhatian Jertih adalah stesen transit sahaja — tren ekspres tidak berhenti di situ.

Betul. Selepas jajaran semula, stesen ini dipindahkan ke Kg Durian Guling, daerah Marang, kira-kira 23 km atau 27 minit memandu dari pusat bandar Kuala Terengganu. Ia tetap satu-satunya henti ekspres di negeri ini.

Belum ada yang diumumkan. Peruntukan TOD Fasa 1 sebanyak RM228 juta merangkumi pembangunan terminal transit di enam stesen, tetapi tiada laluan, operator atau tarikh operasi yang disahkan setakat ini.

Tiada perkhidmatan pengangkutan kenderaan penumpang diumumkan. Tren kargo ECRL beroperasi secara berasingan daripada tren penumpang dan tidak diiklankan sebagai perkhidmatan auto-train.

Aset ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Operasi harian akan dikendalikan oleh ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), yang sedang mengambil pasukan perintis mereka. Kontraktor pembinaan adalah China Communications Construction Company (CCCC).

Tren penumpang mencapai kelajuan maksimum 160 km/j. Tren kargo pula 80 km/j. ECRL bukan tren laju (high-speed rail) — ia rel antara bandar berkelajuan tinggi konvensional.

Discovery Terengganu

Rancang percutian Terengganu anda dari sekarang

Pulau, air terjun, warisan dan makanan — semuanya dalam radius satu jam dari stesen. Terokai destinasi dan pakej pelancongan Terengganu bersama kami.

Terokai Destinasi Terengganu
Dikemas kini: 14 Ogos 2026

Sumber rujukan

  • Kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke (14 Ogos 2026) — kemajuan 95.08%, 10 set tren, kapasiti harian
  • Majlis Keselamatan Negara (MKN) — Ringkasan Maklumat Keretapi Penumpang ECRL Negeri Terengganu
  • Malaysia Rail Link (MRL) — penafian kadar tambang tular, Jun 2026
  • Exco Kerajaan Negeri Terengganu — kemajuan jajaran negeri & perkhidmatan ekspres/transit, Julai 2026
  • DUN Terengganu — peruntukan TOD Fasa 1 RM228 juta bagi enam stesen
  • MoU Kerajaan Negeri Terengganu – MRL bagi pembangunan TOD, November 2025
  • Laman rasmi MRL & ECRL — 665 km jajaran, kapasiti 430 penumpang, 160 km/j penumpang, 80 km/j kargo, tahun operasi 2027
  • Laporan media: The Star, Bernama, Sinar Harian, Utusan Malaysia, Free Malaysia Today, Harian Metro
  • Jarak dan masa memandu adalah anggaran berdasarkan koordinat stesen dan data laluan jalan raya awam

Penafian: Halaman ini adalah panduan maklumat bebas untuk tujuan perancangan pelancongan dan bukan laman rasmi ECRL. Untuk maklumat rasmi sila rujuk ecrl.com.my dan mrl.com.my. Semua tarikh, jarak dan status adalah tertakluk kepada perubahan.