YouTube: Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Pasar
Kedai
Payang
Warisan Terengganu, Khazanah Tempatan
Pasar Kedai Payang,
dikenali sebagai Pasar Payang, merupakan pasar tradisional yang popular di Terengganu. Pasar ini terletak di tepi Sungai Terengganu berhampiran Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu. Kawasan pasar ini adalah salah satu destinasi pelancongan terkenal di Kuala Terengganu. Malah, ia boleh dikatakan sebagai syurga membeli-belah serta mempunyai keunikannya tersendiri bagi penduduk tempatan dan pelancong. Oleh itu, tempat tarikan orang ramai ini adalah tempat yang wajib anda singgah apabila tiba di Terengganu.
Lokasi Pasar Kedai Payang
Sejarah & Kepentingan
Pasar Kedai Payang


Pada tahun 1964, pasar ini dibangunkan untuk menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang telah dirobohkan. Pada mulanya, pasar ini terdiri daripada gerai-gerai kayu sebelum ia dinaik taraf pada tahun 1968. Pasar Payang telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu yang ke-16, yang ketika itu juga adalah Yang di-Pertuan Agong ke-4, iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 31 Ogos 1968. Pada tahun 2019, bangunan lama pasar ini dirobohkan untuk digantikan dengan pasar yang baru.
Baik Pulih Struktur Pasar
Pada 21 Januari 2010, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, menyatakan bahawa kebersihan Pasar Payang adalah kurang memuaskan dan tidak sesuai dengan imej Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Pantai. Beliau menekankan bahawa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu perlu lebih tegas dalam memantau peniaga dan orang ramai yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab. Keadaan Pasar Payang yang usang pada waktu itu turut menimbulkan rungutan daripada orang ramai masyarakat Terengganu. Sehubungan itu, pada tahun 2016, kerajaan telah memperuntukkan RM78 juta untuk memperbaiki infrastruktur Pasar Besar Kedai Payang. Kini, pasar ini menampilkan wajah baru yang lebih baik dan struktur moden hasil daripada baik pulih tersebut.
Produk & Barangan
Pasar Kedai Payang
terletak di dalam sebuah bangunan moden dan terkenal dengan pelbagai produk kraftangan dan kraf tradisional Terengganu. Ia adalah lokasi terbaik untuk mendapatkan pelbagai jenis hasil kraftangan dan produk tempatan. Contohnya, anda boleh membeli songket tenun, kain batik, kain sutera, kain brocade, dan produk logam. Selain itu, ia juga merupakan tempat utama untuk mendapatkan barangan runcit, sayur-sayuran segar, barang-barang mentah, dan hasil laut yang segar. Pelbagai kuih-muih tradisional Terengganu boleh didapati di pasar ini.









Pengalaman Membeli-Belah
Di samping itu, pelawat yang berkunjung ke pasar ini pasti teruja membeli pelbagai barangan tempatan pada harga yang berpatutan. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk mengenali dan memahami budaya setempat. Pengunjung dapat melihat sendiri suasana kehidupan harian penduduk tempatan yang sibuk berjual beli. Ketika berada di sini, jangan lepaskan peluang untuk mencuba hidangan tempatan yang terkenal, iaitu Keropok Lekor. Keropok Lekor ialah snek tradisional berasaskan ikan yang diperbuat daripada campuran isi ikan dan serbuk sagu, dan lazimnya dinikmati bersama sos cili.
Destinasi Pelancongan di Pasar Payang
Selain sebagai pusat membeli-belah, pasar ini turut menjadi destinasi pelancongan yang popular di Kuala Terengganu. Setiap hari, ribuan pelancong dari dalam dan luar negeri berkunjung untuk merasai suasana meriah serta kehidupan tempatan yang sebenar. Pengunjung bukan sahaja dapat membeli barangan unik, malah berpeluang berinteraksi dengan penduduk tempatan, mengenali budaya mereka dengan lebih dekat, dan membawa pulang pengalaman serta kenangan yang istimewa.
Warisan Seni & Budaya Terengganu
Sebagai pusat perniagaan tempatan yang penting dan destinasi pelancongan yang popular, pasar ini terus menjadi asas kehidupan komuniti tempatan. Selain itu, ia juga merupakan warisan seni dan budaya Terengganu yang kaya. Bagi sesiapa yang ingin merasai pengalaman membeli-belah yang autentik dan kehidupan tempatan yang sebenar, Pasar Kedai Payang adalah tempat yang sesuai untuk dikunjungi.





