YouTube: wahoo vlog

PERMATA TERENGGANU
Sejarah & Keindahan

PULAU BIDONG

Pengenalan Pulau Bidong

Pulau Bidong merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu, Malaysia. Ia terletak 45 kilometer dari pantai bandar Terengganu dan Merang di Laut China Selatan. Pulau ini berfungsi sebagai pusat penyelidikan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan mempunyai sejarah penting dalam pembangunan Malaysia moden. Pulau Bidong mempunyai keluasan sebanyak 203 hektar dan terletak di Laut China Selatan, dengan perjalanan kira-kira 30 minit dari tanah besar. Sebahagian besar pulau ini terdiri daripada kawasan berbukit, sementara hanya 12 hektar merupakan kawasan tanah rata yang beralun. Bentuk muka bumi ini menjadikan Pulau Bidong destinasi pilihan para nelayan untuk berlindung daripada tiupan monsun.

Sejarah Pulau Bidong

Sejarah Pulau Bidong

Kawasan di pulau ini mempunyai kisah sejarah pelarian vietnam. Pulau ini pernah menjadi pusat penempatan bagi orang hanyut Vietnam dari Ogos 1978 hingga November 1991. Sebanyak 252,390 orang pelarian Vietnam mencari perlindungan di sini sebelum berpindah ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, dan Australia. Kehadiran mereka menjadikan pulau ini sebagai simbol perjuangan dan daya tahan manusia.

Kisah Pelarian Vietnam

Pusat Pelancongan & Warisan di Pulau Bidong

Sejak kebelakangan ini, Pulau Bidong semakin mendapat perhatian umum berikutan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memajukannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan. Usaha ini sebenarnya telah bermula sejak 1991, setelah penutupan rasmi kem pelarian Vietnam atau kem ‘orang hanyut‘ Vietnam.

 

Pulau Bidong masih menjadi tempat lawatan tahunan bagi bekas penghuni dan waris mereka, yang datang untuk mengenang kembali kenangan lama dan menziarahi kubur pelarian yang meninggal dunia semasa di kem tersebut.

 

Kerajaan negeri, melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu, sentiasa memberikan kerjasama dalam usaha menjadikan Pulau Bidong sebagai destinasi pelancongan pilihan. Pulau ini diharapkan dapat berdiri sama tinggi dengan pulau-pulau popular lain di Terengganu seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, dan Pulau Tenggol.

 

Keindahan Alam Semulajadi

Selain warisan sejarahnya, kawasan ini menawarkan keindahan alam semulajadi yang menakjubkan. Dikelilingi oleh air biru jernih dan pasir putih halus, pulau ini adalah destinasi ideal untuk aktiviti-aktiviti seperti berkhemah, selam skuba, dan snorkeling. Terumbu karang yang indah di sekitar pulau menarik penyelam dari seluruh dunia.

Pendidikan & Inspirasi

Selain itu juga, pulau ini menjadi sumber pendidikan dan inspirasi. Pelawat boleh mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti bekas kem pelarian, muzium, dan monumen yang mengingatkan kepada kisah-kisah tragedi bagi pelarian Vietnam pada masa itu. Ini memberi peluang kepada pelawat untuk memahami sejarah dan nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam pengalaman di pulau ini. 

Aktiviti & Kemudahan

Di samping itu, pulau ini bukanlah lokasi untuk percutian mewah kerana tiada restoran dan kedai makan yang lengkap. Namun, ia tetap menjadi destinasi idaman bagi mereka yang mencari ketenangan dan pengalaman hidup sebagai ‘orang pulau’. Aktiviti seperti snorkeling dan selam skuba memberikan pengalaman yang tidak terlupakan. Sejak sektor pelancongan Terengganu dibuka semula, Pulau Bidong menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai. Ini menunjukkan minat yang besar dalam mengenali pulau bersejarah ini dengan lebih dekat.

Kesimpulan

Secara umumnya, Pulau Bidong bukan sahaja merupakan destinasi pelancongan yang menakjubkan di Terengganu, tetapi juga lambang perjuangan manusia dan semangat kebebasan. Dengan keindahan alam semula jadi dan warisan sejarah yang penting, pulau ini menawarkan pengalaman unik dan memuaskan kepada pengunjung dari dalam mahupun luar negeri. Sebagai warisan budaya dan alam semula jadi, pulau ini adalah aset berharga bagi negeri Terengganu dan Malaysia secara keseluruhannya.