Loading ...

Rumah Tradisional Terengganu: Warisan Seni Bina Melayu

Terengganu, sebuah negeri di Pantai Timur Malaysia, bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya, tetapi juga kaya dengan seni budaya dan warisan yang mempesona. Antara permata yang menyinar dalam khazanah budaya Terengganu ialah rumah tradisionalnya, yang mencerminkan kearifan tempatan dan keindahan seni bina Melayu lama. Dalam pada itu, rumah tradisional ini patut kita kenali bagi sumber ilmu pengetahuan dan juga menjadi rujukan bagi mereka yang ingin mengenali reka bentuk dan karya seni rumah melayu di Terengganu.

YouTube: Ayim utube Channel

Kenali Rumah Tradisional Melayu Terengganu

Rumah Bujang Berpeleh atau Berkembar Kampung Budaya
Rumah Limas Belanda

Warisan Seni Bina Melayu Kekal Abadi

Rumah tradisional Terengganu bukan sekadar tempat tinggal; ia adalah simbol kreativiti masyarakat Melayu yang bijak menyesuaikan diri dengan alam sekitar tropika. Rekaan rumah melayu lama bukan sahaja praktikal, tetapi turut memancarkan keindahan estetika seni bina tradisional Melayu. Setiap sudut rumah menggambarkan identiti dan budaya masyarakat yang mementingkan keharmonian dengan alam semula jadi.

 

Ruang rumah Melayu pada zaman dahulu biasanya direka tanpa bilik, mencerminkan keutamaan masyarakat Melayu terhadap aktiviti berkumpul secara beramai-ramai. Reka bentuk ini sesuai untuk majlis keramaian dan upacara keagamaan, yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan mereka.

Reka Bentuk Iklimatik Rumah Tradisional Melayu

Reka Bentuk Iklimatik Rumah Melayu Tradisional
Gambar: PropertyGuru Malaysia

Gambar di atas menggambarkan reka bentuk iklimatik rumah tradisional Melayu yang direka untuk menyesuaikan diri dengan iklim tropika. Kediaman melayu klasik ini menampilkan ruang atap berpengudaraan untuk mengeluarkan udara panas, manakala bahan atap seperti rumbia dengan kapasiti terma rendah memberikan penebatan haba yang baik. Tingkap besar yang boleh dibuka sepenuhnya membenarkan pengudaraan pada paras badan, sementara struktur rumah bertiang menangkap angin kelajuan tinggi untuk pengaliran udara yang lebih baik. Ruang dalaman direka terbuka dengan sekatan minimum, memastikan aliran udara lancar dan suasana yang nyaman. Lantai dan dinding diperbuat daripada bahan ringan seperti kayu atau buluh, membantu mengekalkan suhu rumah yang sejuk, manakala bumbung lebar memberikan teduhan daripada matahari. Reka bentuk ini memadukan fungsi dan estetika, mencerminkan kehebatan masyarakat Melayu dalam mencipta seni bina yang selesa dan serasi dengan persekitaran tropika.

Simbolik Seni Bina

Rumah tradisional Terengganu membawa simbolisme mendalam yang mencerminkan konsep tubuh manusia dan hubungan dengan Pencipta. Setiap elemen seperti tiang, dinding, dan bumbung mempunyai makna tersirat. Tiang rumah, sebagai contoh, melambangkan kestabilan dan kekuatan, manakala bumbung sering dikaitkan dengan perlindungan dan keagungan. Seni bina ini juga menyerlahkan kemahiran tinggi tukang Melayu dalam menghasilkan struktur yang bukan sahaja indah, tetapi juga tahan lama.

Pengaruh Budaya, Agama Dan Adat Resam

Budaya dan adat resam Melayu memainkan peranan penting dalam seni bina rumah tradisional. Kehadiran Islam mempengaruhi orientasi rumah yang diatur menghadap kiblat. Pembahagian ruang juga diatur mengikut keperluan adat seperti majlis bertandang, kenduri, dan aktiviti keluarga. Rumah ini bukan sahaja mencerminkan gaya hidup tetapi juga kepercayaan dan nilai masyarakat Melayu.

Jenis Rumah Tradisional di Terengganu

1. Rumah Limas Bungkus (Istana Tengku Long)

Istana Tengku Long Kampung Budaya

Istana Tengku Long, sebuah mercu tanda seni bina tradisional Melayu, dibina pada tahun 1904 oleh Cik Hat, seorang tukang terkenal dari Negeri Pahang, dengan bantuan tukang-tukang tempatan. Tapak asal istana ini terletak kira-kira 30 meter dari Sungai Besut di Kampung Raja, kini dikenali sebagai Kota Putra. Dahulunya tapak istana ini berdekatan dengan Desa Ukiran Kayu dan ia juga berhampiran dengan Istana Tengku Anjang.

Fungsi 

Istana Tengku Long dibina sebagai lambang cinta Tengku Long kepada isterinya, Tengku Wook salah seorang kerabat Diraja Terengganu, dan berfungsi sebagai kediaman rasmi beliau semasa memerintah Besut. Selepas pemergiannya, mahligai klasik ini didiami oleh menantunya, Tengku Sulong, suami kepada Tengku Kembang. Seni bina istana ini menggunakan konsep ‘Limas Bungkus’ atau ‘Perabung Lima’, dengan ruang penting seperti ruang menghadap, surung, bilik santapan, serambi, bilik beradu, dan jemuran. Keindahan istana diperkaya dengan ukiran kayu bermotifkan awan larat, flora, geometri, dan kaligrafi, yang melambangkan kehalusan seni tradisional Melayu.

Pemuliharaan Istana Tengku Long

Istana Tengku Long dibina menggunakan kayu cengal dari hutan Besut, terkenal dengan ketahanan dan nilai estetika. Pada tahun 1984, laman warisan ini dibeli oleh Badan Warisan Malaysia dengan kerjasama PETRONAS dan diserahkan kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu untuk pemuliharaan. Pada April 1986, istana ini dipindahkan ke Kompleks Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, dan kini menjadi lambang warisan seni bina Melayu serta sejarah gemilang Terengganu.

2. Rumah Tele

Rumah Tele Kampung Budaya Terengganu

Rumah Bujang Berserambi

Rumah Tele’, yang juga dikenali sebagai Rumah Bujang Berserambi atau Istana Tengku Nik, merupakan salah satu seni bina tradisional Melayu yang kaya dengan sejarah. Tele bermaksud suasana dan ruang yang luas. Dibina pada tahun 1888M semasa pemerintahan Al Marhum Sultan Zainal Abidin III (1881–1918), rumah lama ini didirikan oleh Haji Derahman bin Haji Endut, seorang tukang rumah dan perahu yang terkenal, dengan bantuan dua pengukir kayu mahir.

Struktur Binaan 

Rumah Bujang Berserambi pernah menjadi tempat persinggahan sementara King Rama V, Raja Chulalongkorn dari Thailand bersama pembesar-pembesarnya semasa lawatan ke Negeri Terengganu pada September 1888. Dengan keluasan 18.8m x 10.9m, rumah ini mempunyai 3 ruang utama dan dindingnya dihiasi dengan ukiran halus jenis ‘Janda Berhias’. Jarak dari cucur atap ke tanah ialah 7.87m, dan tingginya dari lantai ke tanah adalah 2.12m, menjadikannya sesuai dengan iklim tropika dan mencerminkan kehalusan seni bina tradisional Melayu.

Sejarah Istana Tengku Nik

Pada awalnya, rumah atau istana ini didiami oleh Cik Kalthum Binti Haji Daud, salah seorang isteri Sultan Zainal Abidin III, sebelum dimiliki oleh Tengku Ngah Haji dan Tengku Nik Haji. Rumah ini dinamakan Istana Tengku Nik selepas didiami oleh Tengku Nik, tetapi ia ditinggalkan kosong apabila beliau berpindah ke Istana Bara.

Pemuliharaan Rumah Tele

Pada tahun 1970, rumah lama ini dirobohkan dari kawasan asalnya di Istana Maziah dan dipindahkan serta dibangunkan semula di Padang Negara, Kuala Ibai oleh Eastern Mining and Company Ltd., sebuah syarikat perlombongan bijih besi di Dungun. Kemudian, pada Khamis, 11 Jun 1987, mahligai yang masih utuh ini dipindahkan sekali lagi ke kawasan Kompleks Muzium Negeri Terengganu di Bukit Losong. Kerja pembinaan semula bermula pada awal Julai 1987 dan siap sepenuhnya pada akhir bulan yang sama. Hari ini, Rumah Tele berdiri megah sebagai warisan seni bina tradisional yang menjadi bukti keindahan ukiran Melayu dan sejarah gemilang Negeri Terengganu.

Kawasan Kampung Budaya Terengganu

3. Rumah Limas Belanda/Potong Belanda

Rumah Limas Belanda / Potong Belanda

Sejarah Pembinaan dan Fungsi

Rumah melayu yang klasik ini dibina pada tahun 1889 semasa zaman pemerintahan Al Marhum Sultan Zainal Abidin III dan dijadikan kediaman anakanda baginda, Tengku Ngah Aishah Hajah. Tapak asal kediaman ini terletak di Jalan Kota Lama, berhampiran Istana Maziah, Kuala Terengganu. Seni bina rumah ini dikenali sebagai “Limas Belanda“, mengambil nama daripada struktur atap atau perabungnya yang berbentuk limas, dengan pengaruh seni bina Belanda atau Riau.

Ruang dan Susun Atur

Rumah adat ini mempunyai susun atur ruang yang disesuaikan dengan fungsi tertentu:

  • Ruang Hadapan: Dikhaskan untuk menerima tetamu.
  • Ruang Kedua: Dijadikan ruang tidur.
  • Ruang Ketiga (Surung): Digunakan sebagai tempat mesyuarat, majlis keraian, dan upacara khusus.

Keunikan Rekaan Dalaman

Dinding rumah ini dibina dengan susunan kayu biasa, manakala di bahagian atas pintu dan tingkap labuh terdapat ukiran bermotifkan flora dan kaligrafi yang melambangkan kehalusan seni Melayu. Di bahagian dalam rumah, terdapat sebuah pintu gerbang berukir yang memisahkan ruang serambi dengan ruang rumah ibu, menambahkan elemen keindahan dan fungsi privasi dalam rekaan rumah.

Rumah Potong Belanda

Rumah Limas Belanda bukan sahaja menampilkan seni bina tradisional Melayu yang unggul tetapi juga memperlihatkan pengaruh budaya luar yang berjaya diserasikan dengan nilai-nilai tempatan. Kini, ia menjadi simbol warisan seni bina Melayu yang terus dihargai.

4. Rumah Bujang Berpeleh/Berkembar

Rumah Bujang Berkembar Kampung Budaya Terengganu

Sejarah dan Pemindahan

‘Rumah Bujang Berpeleh’, juga dikenali sebagai ‘Rumah Bujang Berkembar’, pada asalnya dimiliki oleh Hajjah Hasanah binti Kasim, seorang bangsawan kaya di Terengganu. Rumah melayu ini terletak di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Muzium Negeri Terengganu pada tahun 1986. Laman warisan ini didirikan semula untuk tatapan generasi seterusnya.

Rumah ini terbahagi kepada tiga ruang utama:

  • Ruang Hadapan: Dikhaskan untuk menerima tetamu.
  • Ruang Ibu: Ruang utama bagi keluarga menjalankan aktiviti harian.
  • Ruang Dapur: Digunakan untuk memasak dan aktiviti rumah tangga.

Kediaman klasik ini juga dilengkapi dengan ‘pintu malim’, yang menjadi simbol keunikan seni bina tradisional Melayu.

Ciri-Ciri Seni Bina

Tiang rumah yang tinggi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penghuninya. Ia memudahkan aktiviti seperti menganyam dan bertenun songket, serta membantu pengedaran udara secara efektif dari atas ke bawah rumah. Lantainya pula disusun rapat dan jarang, membolehkan proses pengudaraan berlaku dengan lancar, menjadikan rumah sejuk dan nyaman walaupun dalam iklim tropika.

Keunikan Dinding

Dinding rumah melayu tradisional ini diperbuat daripada anyaman buluh dengan corak ‘Siku Keluang’, manakala bahagian tertentu dihiasi dengan dinding ‘Kayu Kembung’, yang menambah elemen estetika dan tradisional kepada seni bina rumah.

5. Rumah Bujang Berserambi Selasar

Rumah Bujang Berserambi Selasar Kampung Budaya Terengganu

Dibina sekitar tahun 1855 oleh Tuan Haji Abdul Kadir, atau lebih dikenali sebagai Sheikh Abdul Kadir Kolam, kediaman melayu klasik ini dibangunkan secara bergotong-royong oleh anak-anak murid beliau.

Struktur Rumah

Rumah adat ini mempunyai ruang utama seperti ruang ibu, serambi, dan ruang selasar yang digunakan untuk pelbagai aktiviti harian masyarakat seperti mengail, menjahit pukat, serta kegiatan tradisional lain yang sering melibatkan kaum lelaki. Kediaman klasik ini dipanggil Rumah Bujang Berserambi Selasar berdasarkan beberapa ruangan yanag ada pada rumah ini iaitu di bahagian hadapan rumah merupakan ruangan selasar yang lebih rendah lantainya daripada ibu rumah, mempunyai 16 tiang di bahagian ibu rumah.

Lambang Kecermelangan

Pada tahun 1997, rumah ini telah dihadiahkan kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu oleh Tuan Haji Hashim bin Mohamad dan didirikan semula di tapak asalnya. Kini, Rumah Bujang Berserambi Selasar menjadi lambang kecemerlangan seni bina tradisional Melayu yang masih kekal utuh

6. Rumah Nelayan

Rumah Nelayan Kampung Budaya Terengganu

Latar Belakang Pembinaan

Rumah Nelayan merupakan lambang keunggulan seni bina tradisional Melayu yang mencerminkan kreativiti dan identiti masyarakat pesisir pantai. Dibina di dalam kawasan Muzium Negeri Terengganu, rumah nelayan menonjolkan gaya hidup unik masyarakat nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber utama kehidupan. Pembinaan rumah ini bermula pada 1 Julai 1994 dan siap sepenuhnya pada 30 September 1994. Projek ini dijalankan dengan khidmat nasihat Tuan Haji Othman bin Haji Ali, salah seorang pengasas Muzium Negeri Terengganu, bersama bantuan 10 kakitangan muzium.

Keaslian dan Peralatan Tradisional

Untuk menghidupkan suasana autentik perkampungan nelayan, Rumah Nelayan ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan tradisional, antaranya:

  • Perahu: Simbol penting kehidupan nelayan.
  • Rang Tempat Menjemur Ikan: Tempat khas untuk memproses hasil tangkapan.
  • Rawai dan Pukat: Alat utama menangkap ikan di laut.

Keunikan dan Nilai Tradisional

Reka bentuk seni bina Rumah Nelayan menonjolkan ciri-ciri tradisional yang praktikal, sesuai dengan kehidupan masyarakat pesisir pantai. Setiap elemen rumah menggambarkan daya kreativiti dan adaptasi terhadap persekitaran maritim, menjadikan rumah ini lambang warisan budaya dan sejarah masyarakat nelayan di Terengganu.

Seni Bina yang Bernilai

Rumah Nelayan bukan sekadar replika, tetapi sebuah karya seni bina yang menghidupkan semula sejarah dan budaya masyarakat nelayan. Dengan keaslian peralatan dan reka bentuknya, rumah ini menjadi simbol penting warisan tradisional yang harus dihargai dan dipelihara untuk generasi akan datang.

Ciri Utama Reka Bentuk Rumah Melayu Tradisional

Tiang Rumah Tradisional

Tiang & Rasuk

Tiang rumah diperbuat daripada kayu cengal yang tahan lama. Ia disokong oleh batu alas dan diikat dengan rasuk untuk kestabilan. Tiang seri, simbolik dalam adat pembinaan serta elemen penting rumah tradisional.

Bumbung Rumah Tradisional

Bumbung

Direka dalam bentuk lipat kijang dengan kecerunan tertentu, menggunakan genting senggora sebagai bahan atap. Genting senggora digunakan sebagai atap kerana ketahanan yang lebih baik daripada atap nipah atau rumbia.​

Pintu Dan Tingkap Rumah Melayu

Pintu & Tingkap

Pintu dibuat dengan dua daun yang dibuka ke dalam, menggunakan selak kayu sebagai kunci. Tingkap kayu dengan kekisi memberikan ruang untuk pengedaran udara sambil mengekalkan privasi.

Dinding Rumah Tradisional

Dinding

Dinding rumah tradisional biasanya diperbuat daripada kayu cengal atau merbau yang disusun menegak, dengan sebahagian menggunakan anyaman buluh membantu pengudaraan dan penyejukan rumah.

Fungsi Ruang Dalam Rumah Tradisional

Rumah tradisional Terengganu direka dengan bijak untuk memenuhi keperluan kehidupan masyarakat Melayu. Setiap ruang mempunyai fungsi tersendiri, mencerminkan gaya hidup dan budaya yang unik.

1. Ruang Selasar

Ruang ini terletak di bahagian hadapan rumah dan digunakan untuk menerima tetamu lelaki. Selain itu, ruang ini juga menjadi tempat untuk berehat sambil menikmati suasana sekitar.

2. Ruang Tengah (Ibu Rumah)

Ini adalah ruang utama untuk keluarga, biasanya digunakan untuk aktiviti dalaman seperti berkumpul, makan, atau tidur. Ruang tengah merupakan bahagian paling penting dalam rumah kerana ia menjadi pusat aktiviti keluarga.

3. Dapur

Dapur adalah ruang khas untuk wanita, digunakan untuk memasak dan juga menerima tetamu perempuan. Kedudukannya biasanya di bahagian belakang rumah untuk memberikan privasi kepada penghuni.

4. Lambor

Ruang terbuka ini sering digunakan untuk aktiviti tidak formal seperti menjemur pakaian, berbual dengan jiran, atau melakukan kerja harian. Ia juga menjadi tempat interaksi sosial di kalangan penghuni rumah dan komuniti.

5. Ruang Bawah Rumah

Ruang di bawah rumah digunakan sebagai stor, bengkel, atau tempat memelihara haiwan seperti ayam atau kambing. Selain itu, ruang ini juga sering digunakan untuk aktiviti seperti menenun songket atau menumbuk padi.

Kesemua ruang ini direka bukan sahaja untuk keselesaan tetapi juga untuk melambangkan adat, fungsi sosial, dan cara hidup masyarakat Melayu tradisional.

Faktor Pengaruh Seni Bina

Iklim Tropika

Rumah dibina tinggi dari tanah untuk mengelakkan kelembapan, banjir, dan gangguan haiwan.

Agama Islam

Susun atur rumah disesuaikan mengikut arah kiblat, dengan ruang lelaki dan wanita dipisahkan.

Sosial & Alam Sekitar

Rekaan rumah memastikan pengedaran udara lancar dan sesuai untuk persekitaran tropika.

Tempat Yang Boleh Kunjungi berkenaan Rumah Tradisional

Kampung Budaya Terengganu
Kuala Terengganu

Kampung Budaya Terengganu

Lawati Kampung Budaya Terengganu untuk menerokai keindahan rumah tradisional Melayu. Saksikan seni bina autentik, ukiran kayu halus, dan kehidupan budaya masyarakat tempatan.

Istana Tengku Anjang
Besut

Istana Tengku Anjang

Kunjungi Istana Tengku Anjang di Besut, sebuah warisan bersejarah yang memaparkan seni bina tradisional Melayu dengan ukiran kayu yang unik dan cerita sejarah yang menarik.

Video Rumah Tradisional

@ohmyganung Terramalai @Terra Resorts himpunan rumah lama berusia lebih 100 tahun yang direstorasi menjadi tempat menginapan bangsawan zaman pendekar. Teringin tak menginap di sini? Mengadap pantai Batu Rakit & Pulau Bidong.🥰 #pinganchorage #tourismmalaysia #cuticutimalaysia #kualaterengganuheritagetrail #terrapuri #terraresorts #terramalai #beautifulterengganu #ohmyganung ♬ Instrumen Melayu - Andijul maruf

Mengapa Rumah Tradisional Perlu Dilestarikan ?

Rumah tradisional Terengganu bukan sekadar binaan lama; ia adalah warisan sejarah yang menyimpan cerita budaya, adat resam, dan kehebatan seni bina Melayu. Dalam era moden ini, usaha melestarikan rumah tradisional ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat mengenalinya dan menghargai keindahannya. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab untuk menjaga dan mempromosikan khazanah warisan ini, agar ia tidak lapuk dek zaman. Rumah tradisional ini boleh dijadikan inspirasi dalam reka bentuk moden, dengan menggabungkan elemen tradisional untuk mengekalkan identiti unik bangsa kita.

“Rumah tradisional adalah bukti bahawa warisan tidak sekadar dihuni, tetapi dihargai.”
Di tepi pantai rumah berseri,
Tiang tinggi atap menjulang,
Warisan lama indah lestari,
Seni Melayu kekal gemilang.

Tambah Komen

Your email address will not be published.

The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

ms_MYMS