Pantai Teluk Ketapang
Kongsikan kepada Rakan, Kenalan, Ahli Keluarga Anda
Kongsikan kepada Rakan, Kenalan, Ahli Keluarga Anda
YouTube: Rozi Talib Channel
Pantai
Teluk
Ketapang
Destinasi dan Makanan di Terengganu
Pantai Teluk Ketapang, terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus, merupakan destinasi yang sempurna bagi pencinta pantai dan makanan. Kawasan ini dikenali dengan kecantikan semula jadinya dan pelbagai kemudahan yang ditawarkan. Oleh itu, pantai ini telah menjadi pilihan utama bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam serta citarasa makanan tempatan.
Pengenalan
Kecantikan pantai ini terpancar melalui pemandangan yang disajikan dengan pohon-pohon kelapa yang menjulang tinggi serta hamparan pasir putih yang meliputi kawasan ini, membentuk sebahagian besar daripada landskap pantai yang menakjubkan. Salah satu pemandangan yang paling mengagumkan di Terengganu adalah bahawa kebanyakan pantai-pantai memanjang berbatu-batu tanpa bukit atau tanjung untuk memecahkan kesinambungan. Terengganu mempunyai pesisir pantai terpanjang di Malaysia yang berpanjangan hingga 244 km. Pantai ini juga bersebelahan dengan Pantai Seberang Takir serta laluan ini juga boleh terus ke lokasi Drawbridge Terengganu.
Makanan Dan Snek
Pantai Teluk Ketapang adalah destinasi yang cukup popular untuk makanan ICT (Ikan Celup Tepung) atau ikan goreng dalam tepung. ICT adalah snek ikan Terengganu yang dicari, dimakan dengan sos cili pada waktu petang, dan ramai orang datang ke sini untuk menikmati pemandangan laut yang indah. Pelbagai makanan dari ikan, snek makanan laut lain yang digoreng dalam tepung. Kawasan ini juga mempunyai makanan kuih tradisional Terengganu seperti keropok lekor dan keropok keping. Bukan itu sahaja kawasn ini juga menawarkan rangkaian warung-warung yang menjadikan tempat tarikan ini destinasi rekreasi untuk makanan.
Kemudahan Dan Aktiviti Rekreasi
Selain dari taman permainan, pondok rehat juga banyak disediakan untuk kemudahan pengunjung berehat dan berkelah bersama keluarga. Kemudahan rumah penginapan juga disediakan dengan kadar berpatutan bagi pengunjung yang ingin bermalam di kawasan pantai ini. Pengunjung yang datang ke sini boleh mengikuti aktiviti menunggang kuda, berkelah, dan bermain layang-layang. Anda boleh menaiki kuda dengan harga yang berpatutan sekali.
Penginapan
Pantai ini juga berdekatan dengan The Payang Scout Hotel, sebuah penginapan yang menawarkan kemudahan yang selesa dan moden. Para pelancong boleh menikmati pemandangan pantai yang indah dari bilik mereka dan mengakses pelbagai kemudahan hotel seperti aktiviti sukan lasak, restoran, dan pusat kecergasan. Lokasinya yang strategik menjadikan hotel ini pilihan ideal untuk mereka yang ingin menikmati keindahan pantai sambil menikmati penginapan yang berkualiti.
Kesimpulan
Oleh kerana pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan dan kemudahan yang disediakan, kawasan pantai ini adalah tempat yang terbaik untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dengan keindahan alam semulajadi yang menakjubkan. Bagi mereka yang mencari pengalaman santai dan menikmati keindahan pantai Malaysia, Pantai Teluk Ketapang adalah pilihan yang tepat.
Senarai Kemudahan
- Gerai Jualan
- Mesra Haiwan Peliharaan
- Parkir Motorsikal
- Tempat Duduk Luaran
- Tempat Letak Kereta