Sumber Youtube: MOHD NORISAN CHANNEL.
Pengenalan Bukit Bersejarah di Terengganu
Bukit Puteri (Jawi: بوكيت ڤوتري)
merupakan sebuah bukit kecil setinggi 250m yang mempunyai makna sejarah di Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. Dengan keluasan kira-kira 0.688 hektar dan ketinggian sekitar 200 meter dari aras laut, ia menjadi lokasi strategik bukan sahaja untuk sejarah, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan utama.
Lokasi Strategik di Tengah Bandar Terengganu
Lokasi bukit bersejarah ini sangat istimewa kerana terletak berdekatan dengan bangunan bersejarah Istana Maziah, Masjid Abidin, serta mercu tanda popular seperti Pasar Kedai Payang dan Pejabat Pos Kuala Terengganu.
Asal Usul Nama Bukit Puteri
Terdapat pelbagai cerita tentang asal usul nama bukit ini. Catatan sejarah menyatakan bahawa ketika Dato’ Bendahara Padang Saujana Johor menghantar wakilnya ke Terengganu pada abad ke-17, bukit ini sudah pun dikenali sebagai Bukit Puteri. Namun, legenda rakyat lebih popular dalam kalangan masyarakat setempat. Kononnya, bukit ini pernah menjadi tempat tinggal seorang puteri bunian. Penduduk sering meminjam pinggan mangkuk daripada puteri ini untuk majlis kenduri. Akhirnya, puteri tersebut merajuk dan menghilang kerana ada yang tidak memulangkan pinggan mangkuk atau memulangkannya dalam keadaan rosak. Disebabkan itu, puteri tersebut dikatakan berpindah ke Besut di mana terdapat satu lagi bukit bernama Bukit Puteri.
Peranan Bukit Puteri dalam Sejarah
Bukit Puteri
juga memainkan peranan penting dalam sejarah Kesultanan Terengganu. Pada abad ke-19, khususnya antara tahun 1831 hingga 1839, bukit ini menjadi kubu pertahanan utama dalam pergolakan politik membabitkan Tengku Umar (1839-1876) dengan Sultan Mansor II(1831-1836) serta kemudian dengan Sultan Muhammad I(1836-1839). Di atas bukit ini, terdapat meriam lama, kubu batu, dan genta tembaga seberat 175 kilogram yang dibina pada tahun 1908.
Kesan daripada perang saudara tersebut masih boleh dilihat hingga ke hari ini, termasuk:
Kubu pertahanan yang kukuh
Meriam lama yang tersusun di puncak bukit
Tempat simpanan ubat bedil
Singgahsana sementara
Warisan ini menjadikan bukit ini sebuah lokasi bersejarah yang bernilai tinggi untuk generasi kini.
Tarikan Utama di Bukit Puteri

1. Pemandangan Indah dari Puncak
Pengunjung dapat menikmati panorama bandar Kuala Terengganu serta lokasi pelancongan menarik di Terengganu. Anda boleh lepak santai di kawasan bukit ini.

2. Kubu Pertahanan & Meriam Lama
Beberapa buah meriam lama masih tersusun di atas bukit, menandakan peranan penting bukit setinggi 250 meter sebagai benteng pertahanan suatu ketika dahulu.

3. Genta Besar Tembaga
Genta merupakan loceng tembaga besar yang dibina pada tahun 1908 digunakan sebagai alat komunikasi pada zaman silam. Kini, ia menjadi simbol sejarah yang masih boleh dilihat oleh pengunjung pada masa ini.

4. Tiang Bendera & Rumah Api
Tiang bendera setinggi 18 meter yang dibina ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Rumah api yang berfungsi sebagai panduan kepada para pelaut di laut.
Tips Melawat Bukit Puteri
Anda boleh lepak santai di atas bukit ini untuk menikmati pemandangan dari atas.
Diingatkan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan di sekitar bukit bersejarah ini.
Pilih waktu terbaik seperti waktu pagi atau lewat petang untuk elakkan panas terik.
Pakai kasut yang selesa kerana perlu menaiki tangga.
Bawa kamera untuk merakam pemandangan panorama yang menakjubkan.
Terokai Bukit Puteri di Kuala Terengganu
Bukit Puteri
bukan sekadar bukit kecil di tengah bandar Kuala Terengganu, tetapi sebuah tapak bersejarah yang menyimpan warisan, legenda, serta panorama yang indah. Jika anda berkunjung ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk menjejakkan kaki dan mendaki bukit ini dan terokai sejarah yang masih kekal di Negeri Terengganu.
















