
Menggali Khazanah Pulau Duyong
PULAU DUYONG
Melawat dan menerokai sejarah Pulau Duyong adalah satu pengalaman yang sungguh mengasyikkan dan penuh dengan penemuan. Pulau ini bukan sahaja terkenal dengan warisan sejarahnya, tetapi juga dengan keindahan alam semulajadinya yang menenangkan. Ini membuatkan diri saya ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang kawasan yang unik di pulau ini yang mempunyai khazanahnya yang tersendiri. Oleh itu, saya ingin berkongsi pengalaman peribadi saya ketika menjelajah dan mengetahui serba sedikit tentang kawasan sejarah di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
Pada pagi yang cerah, saya memulakan perjalanan saya ke Pulau Duyong dengan menaiki bot dari jeti Shahbandar di Kuala Terengganu. Kalau ikutkan boleh je naik kereta lalu dekat Jambatan Sultan Mahmud tapi orang kata inginkan “suasana” naik bot bagi ada pengalaman sekali sekala. Barulah merasa angin sepoi-sepoi bahasa dan pemandangan indah sepanjang perjalanan membuatkan hati saya semakin teruja untuk sampai ke destinasi.
Tiba di Pulau Duyong
Sebaik sahaja tiba di Pulau Duyong, saya disambut dengan suasana kampung yang tenang dan damai. Rumah-rumah tradisional Melayu yang terletak bersebelahan sungai menambahkan lagi keunikan pulau ini. Saya terus menuju ke destinasi pertama saya, iaitu Kota Lama Duyong. Kota yang bersejarah ini dibawah penjagaan Muzium Negeri Terengganu.

Mengunjungi Kota Lama Duyong
Kota Lama Duyong adalah sebuah tempat yang memukau dengan seni bina sejarahnya. Saya disambut dengan pemandangan bangunan kayu yang indah, dengan ukiran-ukiran halus yang mencerminkan kehalusan seni bina Melayu. Saya mengambil masa untuk menjelajah setiap sudut kota ini, mengagumi keindahan dan keunikan seni bina serta sejarahnya. Bangunan bersejarah ini telah diambil inisiatif untuk dibina semula oleh pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian selepas mengalami kerosakan teruk akibat banjir pada tahun 1986. Kini, Kota Lama Duyong telah dibuka kepada umum sejak tahun 2005, membolehkan pengunjung untuk menyaksikan keindahan seni bina tradisional Melayu yang unik.
Melihat Demostrasi Pembuatan Perahu
Selepas mengunjungi Kota Lama Duyong, saya berpeluang melihat demonstrasi pembuatan perahu tradisional oleh tukang kayu tempatan. Kemahiran dan kecekapan mereka dalam membentuk perahu menggunakan kayu cengal amat mengagumkan. Saya turut berkesempatan berbual dengan mereka dan mempelajari sedikit sebanyak tentang proses pembuatan perahu yang rumit ini.



Berjalan di Sekitar Resort Pulau Duyong
Salah satu resort yang berdekatan dengan Pulau Duyong adalah Duyong Marina & Resort. Resort ini terletak betul-betul di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, dan menawarkan pelbagai kemudahan serta pengalaman yang menenangkan untuk para pengunjung. Saya hanya berjalan di sekitar resort dan disebelahnya mempunyai jeti Pulau Duyong. Pemandangannya begitu luas dan saya dapat melihat Drawbridge Terengganu dari sini. Pemandangan cukup menarik bagi peminat fotografi dan videografi.

Duyong Marina
Resort
2024
Menikmati Pemandangan Pantai
Setelah puas menjelajah dan belajar, saya mengambil peluang untuk bersantai di pantai Pulau Duyong. Pasir putih yang bersih dan air laut yang jernih memberikan ketenangan yang luar biasa. Saya menghabiskan masa di sini dengan berjalan-jalan di sepanjang pantai, mengambil gambar, dan menikmati keindahan alam.
Mencuba Makanan Tempatan di Pulau Duyong
Sebelum pulang, saya tidak melepaskan peluang untuk mencuba beberapa makanan tempatan yang dijual di gerai-gerai berhampiran. Nasi dagang dan keropok lekor yang enak menjadi penutup sempurna untuk perjalanan saya. Rasanya yang begitu original dan sedap benar-benar memuaskan selera. Banyak lagi tempat makan disini seperti Restoran Pulau Duyong Ikan Bakar, Restoran Shifaa Tomyam Ala Thai dan banyak lagi. Sebagai tambahan, jika anda ingin nak merasa makan buffet, Duyong Marina & Resort menawarkan buffet setiap hari Jumaat pukul 4 petang sehingga 9 malam. Harga untuk orang dewasa hanya RM39.00 manakala bagi kanak-kanak(6-12 tahun) RM29.00 dalam masa limit 2 jam. Untuk tempahan, anda boleh hubungi 09-6277734.

Kesimpulan
Perjalanan ke Pulau Duyong adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Keindahan alam, kekayaan sejarah, dan keramahan penduduk tempatan menjadikan lawatan ini sangat istimewa. Pulau Duyong adalah destinasi yang harus dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang ingin merasai keunikan dan keindahan budaya Terengganu.
Semoga pengalaman saya ini dapat memberikan inspirasi dan panduan kepada sesiapa yang bercadang untuk melawat Pulau Duyong dan juga melawat tempat bersejarah seperti Kota Lama Duyong. Kawasan sejarah pulau duyong ini bukan sahaja memberikan pengetahuan malah memberikan pengalaman yang unik buat diri saya ini. Selamat mengembara dan menikmati keindahan yang ditawarkan oleh pulau yang menawan ini !!!