Selamat datang ke halaman blog Drawbridge Terengganu di mana pada halaman ini akan menceritakan pengalaman dan tarikan terbaru di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada tahun ini.

Kenali Jambatan Angkat Kuala Terengganu dengan lebih mendalam melalui reka bentuknya yang unik, galeri interaktif, infrastruktur canggih, fungsi yang multifungsi, video pengenalan yang informatif, serta keunikan sebagai tarikan pelancong yang menarik di Terengganu pada tahun ini.
YouTube : Amazing Terengganu

Jambatan Angkat Kuala Terengganu sepanjang 638 meter, dengan bahagian bascule sepanjang 76 meter yang boleh dinaikkan untuk kapal-kapal yang lalu, berdiri sebagai simbol ikonik visi Kuala Terengganu sebagai 'Bandaraya Warisan Pesisir Air' yang mampan.
Jambatan Terengganu adalah sebuah jambatan imbang yang merentasi Sungai Terengganu. Pembinaan jambatan ini bermula pada tahun 2014 dan selesai pada tahun 2019, menjadikannya salah satu jambatan paling moden dan canggih di Malaysia. Reka bentuknya yang unik termasuk bahagian jambatan yang boleh dinaikkan, membolehkan kapal besar melaluinya dengan mudah. Jambatan ini juga berdekatan dengan projek pembangunan Kuala Terengganu iaitu KTCC Mall.
Pada hari Sabtu yang lalu, saya bersama keluarga berkesempatan melawat Drawbridge Terengganu yang terletak di Kuala Terengganu. Pengalaman ini sungguh menakjubkan dan penuh dengan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sekitar kawasan ini. Kami mengikut laluan kampung berhampiran dengan Masjid Kampung Seberang Takir untuk ke drawbridge tersebut.
Kami tiba di Drawbridge seawal jam pagi untuk mengelakkan kesesakan. Pemandangan matahari terbit dari jambatan ini sangat memukau, dengan langit berwarna keemasan yang memantulkan cahaya di atas air. Kami sempat berbasikal di sepanjang laluan pejalan kaki yang disediakan di kedua-dua belah jambatan. Laluan ini cukup luas dan selesa untuk semua golongan umur.


Kotak kuning merupakan senarai hari weekend untuk melawat manakala kotak berwarna hijau merupakan hari weekday. Tiket juga boleh dibeli di pintu masuk Jambatan Angkat.
Rancang lawatan anda dan nikmati semua yang ditawarkan oleh Jambatan Angkat Kuala Terengganu ! Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi atau hubungi pasukan khidmat pelanggan.
Setelah menikmati pemandangan pagi, kami menuju ke galeri di salah satu menara Drawbridge. Galeri ini memaparkan sejarah pembinaan jambatan, teknologi yang digunakan, serta pelbagai informasi menarik mengenai Terengganu. Di tingkat atas menara, terdapat dek pandang yang membolehkan pengunjung menikmati panorama bandar Kuala Terengganu dan persekitarannya dari ketinggian. Pemandangan ini sangat sesuai untuk fotografi, terutamanya bagi pencinta seni visual.



Baru-baru ini, saya berpeluang untuk melawat PILE CAP CAFE yang terletak di bawah kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Kafe ini telah dibuka pada 17 Julai 2024 dan telah menjadi tarikan terbaru di kawasan ini. Dengan pemandangan indah menghadap sungai, Pilecap Cafe menawarkan suasana yang santai dan menenangkan. Walaupun turun tangga dan naik tangga, tapi berbaloi untuk mendapatkan pengalaman tersebut.
Kawasan tempat duduk yang terletak di luar kafe memberikan pemandangan langsung ke arah sungai dan jambatan angkat yang megah. Suasana ini sangat sesuai untuk berehat & healing pada waktu petang sambil menikmati secawan kopi. Tambahan pula, nak bawa kerusi healing sendiri pun boleh sambil layan sunset di muara sungai Terengganu.
Selain menikmati makanan, pengunjung juga boleh mengambil peluang untuk bersiar-siar di sekitar Jambatan Angkat dan menikmati pemandangan indah pada waktu malam apabila jambatan ini diterangi dengan lampu yang berwarna-warni.
Ketika malam menjelang, Drawbridge menjadi tumpuan utama dengan pertunjukan cahaya yang memukau. Lampu-lampu berwarna-warni dipasang di sepanjang jambatan, menjadikan suasana sangat romantis dan magikal. Kami mengambil peluang ini untuk bersiar-siar sambil menikmati angin malam yang sepoi-sepoi bahasa. Banyak juga pengunjung lain yang datang untuk menyaksikan pertunjukan cahaya ini sambil menikmati makanan dari gerai-gerai berhampiran.




Secara keseluruhan, pengalaman melawat Drawbridge Terengganu sangat berbaloi dan meninggalkan kenangan manis buat kami sekeluarga. Tempat ini bukan sahaja menawarkan pemandangan yang indah tetapi juga pelbagai aktiviti menarik yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Jadi, jika anda merancang untuk berkunjung ke Terengganu, jangan lupa singgah di Drawbridge dan alami sendiri keajaiban jambatan angkat pertama di Malaysia ini.
Jambatan Angkat di Asia Tenggara,
Pemandangan indah menarik jiwa,
Megah berdiri di tepi muara,
Menjadi tumpuan pelancong semua.
