Sumber Youtube: MOHD NORISAN CHANNEL.

Bukit Puteri

Pengenalan Bukit Bersejarah di Terengganu

Bukit Puteri (Jawi: بوكيت ڤوتري)

merupakan sebuah bukit kecil setinggi 250m yang mempunyai makna sejarah di Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. Dengan keluasan kira-kira 0.688 hektar dan ketinggian sekitar 200 meter dari aras laut, ia menjadi lokasi strategik bukan sahaja untuk sejarah, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan utama.

Lokasi Strategik di Tengah Bandar Terengganu

Lokasi bukit bersejarah ini sangat istimewa kerana terletak berdekatan dengan bangunan bersejarah Istana Maziah, Masjid Abidin, serta mercu tanda popular seperti Pasar Kedai Payang dan Pejabat Pos Kuala Terengganu.

Asal Usul Nama Bukit Puteri

Terdapat pelbagai cerita tentang asal usul nama bukit ini. Catatan sejarah menyatakan bahawa ketika Dato’ Bendahara Padang Saujana Johor menghantar wakilnya ke Terengganu pada abad ke-17, bukit ini sudah pun dikenali sebagai Bukit Puteri. Namun, legenda rakyat lebih popular dalam kalangan masyarakat setempat. Kononnya, bukit ini pernah menjadi tempat tinggal seorang puteri bunian. Penduduk sering meminjam pinggan mangkuk daripada puteri ini untuk majlis kenduri. Akhirnya, puteri tersebut merajuk dan menghilang kerana ada yang tidak memulangkan pinggan mangkuk atau memulangkannya dalam keadaan rosak. Disebabkan itu, puteri tersebut dikatakan berpindah ke Besut di mana terdapat satu lagi bukit bernama Bukit Puteri.

Peranan Bukit Puteri dalam Sejarah

Bukit Puteri

juga memainkan peranan penting dalam sejarah Kesultanan Terengganu. Pada abad ke-19, khususnya antara tahun 1831 hingga 1839, bukit ini menjadi kubu pertahanan utama dalam pergolakan politik membabitkan Tengku Umar (1839-1876) dengan Sultan Mansor II(1831-1836) serta kemudian dengan Sultan Muhammad I(1836-1839). Di atas bukit ini, terdapat meriam lama, kubu batu, dan genta tembaga seberat 175 kilogram yang dibina pada tahun 1908.

Kesan daripada perang saudara tersebut masih boleh dilihat hingga ke hari ini, termasuk:

  • Kubu pertahanan yang kukuh

  • Meriam lama yang tersusun di puncak bukit

  • Tempat simpanan ubat bedil

  • Singgahsana sementara

Warisan ini menjadikan bukit ini sebuah lokasi bersejarah yang bernilai tinggi untuk generasi kini.

Tarikan Utama di Bukit Puteri

Bukit Puteri, Kuala Terengganu

1. Pemandangan Indah dari Puncak

Pengunjung dapat menikmati panorama bandar Kuala Terengganu serta lokasi pelancongan menarik di Terengganu. Anda boleh lepak santai di kawasan bukit ini.

Meriam Beranak Bukit Puteri

2. Kubu Pertahanan & Meriam Lama

Beberapa buah meriam lama masih tersusun di atas bukit, menandakan peranan penting bukit setinggi 250 meter sebagai benteng pertahanan suatu ketika dahulu.

Pondok Genta Bukit Puteri, Kuala Terengganu

3. Genta Besar Tembaga

Genta merupakan loceng tembaga besar yang dibina pada tahun 1908 digunakan sebagai alat komunikasi pada zaman silam. Kini, ia menjadi simbol sejarah yang masih boleh dilihat oleh pengunjung pada masa ini.

Bukit Puteri, Kuala Terengganu

4. Tiang Bendera & Rumah Api

Tiang bendera setinggi 18 meter yang dibina ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Rumah api yang berfungsi sebagai panduan kepada para pelaut di laut.

Tips Melawat Bukit Puteri

  • Anda boleh lepak santai di atas bukit ini untuk menikmati pemandangan dari atas.

  • Diingatkan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan di sekitar bukit bersejarah ini.

  • Pilih waktu terbaik seperti waktu pagi atau lewat petang untuk elakkan panas terik.

  • Pakai kasut yang selesa kerana perlu menaiki tangga.

  • Bawa kamera untuk merakam pemandangan panorama yang menakjubkan.

Terokai Bukit Puteri di Kuala Terengganu

Bukit Puteri

bukan sekadar bukit kecil di tengah bandar Kuala Terengganu, tetapi sebuah tapak bersejarah yang menyimpan warisan, legenda, serta panorama yang indah. Jika anda berkunjung ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk menjejakkan kaki dan mendaki bukit ini dan terokai sejarah yang masih kekal di Negeri Terengganu.