
Penyu Agar
Chelonia mydas
Green Turtle. Paling banyak mendarat di pantai Terengganu.







Empat spesies penyu mendarat di pantai Terengganu. Inilah kisah khazanah marin yang menjadi lambang negeri, dari Rantau Abang sehingga ke Pulau Redang.
Penyu merupakan simbol penting bagi negeri Terengganu serta salah satu khazanah negara yang tidak ternilai. Kehadirannya bukan sahaja melambangkan keindahan alam semula jadi, malah menjadi tanda kepentingan pemuliharaan hidupan marin.
Tidak hairanlah Terengganu dikenali di seluruh dunia kerana pantainya yang menjadi lokasi utama penyu mendarat dan bertelur.
Dari Pantai Rantau Abang yang terkenal sejak dahulu hingga ke pulau indah seperti Pulau Redang, penyu menjadikan Terengganu sebagai destinasi persinggahan utama.
Fenomena semula jadi ini telah menjadikan negeri ini pusat tarikan pelancong yang ingin melihat sendiri keajaiban penyu naik ke darat.
Video: [INFOGRAFIK] Spesies Penyu Di Malaysia — kredit kepada pemilik video Astro AWANI.
Pulau Redang menjadi antara lokasi paling aktif penyu mendarat di Terengganu. Selain itu, perairannya yang jernih memudahkan pengunjung menyaksikan penyu berenang bebas di habitat semula jadi.
Justeru, setiap kunjungan ke pantai dan pulau ini perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab supaya penyu terus selesa kembali setiap musim.
Penyu mempunyai keistimewaan semula jadi yang menjadikannya khazanah alam bernilai tinggi. Antara ciri uniknya ialah tempoh matang yang panjang, iaitu antara 20 hingga 50 tahun sebelum bersedia untuk bertelur.
Lebih menarik, penyu terkenal dengan fenomena natal homing iaitu penghijrahan kembali ke tempat asal mereka bertelur. Setiap musim, penyu betina akan kembali ke pantai yang sama, menjadikan kawasan pesisir pantai sebagai lokasi penting dalam kitaran hidupnya.
Selain perjalanan migrasi, penyu juga mempunyai keunikan dalam penentuan jantina anak penyu. Suhu pasir memainkan peranan penting di mana suhu tinggi cenderung menghasilkan penyu betina, manakala suhu rendah menghasilkan jantan.
Perbezaan jantina juga dapat dikenalpasti pada penyu dewasa, di mana penyu jantan mempunyai ekor yang lebih panjang berbanding betina. Menariknya, penyu betina sangat setia dengan lokasi bersarang, biasanya memilih kawasan berhampiran sarang lama untuk meneruskan kelangsungan generasi akan datang.

Chelonia mydas
Green Turtle. Paling banyak mendarat di pantai Terengganu.

Dermochelys coriacea
Leatherback Turtle. Penyu terbesar di dunia.

Lepidochelys olivacea
Olive Ridley Turtle. Terkenal dengan fenomena arribadas.

Eretmochelys imbricata
Hawksbill Turtle. Dianggap penyu tercantik.
Penyu Agar adalah spesies penyu paling banyak mendarat di pantai Terengganu, khususnya di Pulau Redang. Penyu Agar dipercayai membantu meningkatkan kesihatan rumpai laut dan mikrohabitat sekitar.
Mereka akan meragut bahagian atas daun rumpai laut tanpa mengganggu akarnya, yang membantu rumpai laut tumbuh lebih cepat dan sihat. Musim bertelurnya berlangsung dari Mac hingga September.
Penyu Agar akan bersarang sebanyak 3 hingga 5 kali setiap musim, dengan purata sekitar 115 biji telur setiap sarang. Telur memerlukan masa inkubasi kira-kira 2 bulan sebelum menetas. Betina lebih suka bersarang di pantai berpasir yang terbuka.
Penyu Agar mencapai kematangan pada umur sekitar 25 hingga 35 tahun dan dianggarkan boleh hidup sekurang-kurangnya 70 tahun. Anak penyu akan menghabiskan masa di lautan terbuka sebelum kembali ke habitat pesisir pantai apabila dewasa.
Rantau Abang, Terengganu pernah terkenal sebagai lokasi melihat Penyu Belimbing, penyu terbesar di dunia, dikatakan sebesar kereta Kancil, dengan saiznya boleh mencapai sehingga 8 kaki dan beratnya mencecah 900 kg.
Penyu Belimbing adalah spesies penyu tertua, wujud lebih 150 juta tahun dan bertahan dari kepupusan dinosaur, tetapi kini menghadapi ancaman manusia. Cangkerangnya yang lembut dan unik menjadikannya istimewa.
Penyu Belimbing membesar lebih cepat daripada penyu bercangkerang keras dan dijangka hidup sekitar 45 hingga 50 tahun atau lebih. Mencapai kematangan pada usia 9 hingga 20 tahun. Penyu betina bersarang di pantai tropika setiap 2 hingga 4 tahun pada waktu malam. Mereka bertelur sekitar 100 biji setiap sarang dan telur menetas selepas 2 bulan.
Penyu ini migrasi jauh, boleh berenang lebih 10,000 batu setahun. Ia mampu menyelam sehingga 4,000 kaki selama 85 minit dan memakan mangsa seperti ubur-ubur menggunakan rahang tajam dan duri dalam mulutnya.
Penyu Lipas bertelur secara berkumpulan dalam fenomena yang dikenali sebagai arribadas, di mana ribuan penyu betina bertelur serentak. Fenomena ini dikatakan dipengaruhi oleh perubahan cuaca, kitaran bulan, dan pasang surut laut.
Penyu ini hidup terutama di lautan terbuka (pelagik) tetapi juga boleh ditemui di kawasan pesisir benua, teluk, dan muara sungai.
Penyu Lipas mencapai kematangan seksual sekitar usia 15 tahun. Walaupun kurang ditemui di Terengganu, penyu ini masih boleh dilihat di beberapa kawasan pantai tertentu.
Penyu Lipas bertelur secara berkelompok dalam arribadas, di mana ribuan betina bertelur serentak dalam beberapa hari atau minggu. Setiap musim, mereka bertelur 1 hingga 3 kali dengan sekitar 100 biji telur setiap sarang, yang akan menetas selepas tempoh inkubasi selama 2 bulan.
Penyu Karah matang pada usia 20 hingga 35 tahun dan dijangka hidup hingga 50 hingga 60 tahun. Populasinya telah menurun lebih 80% sejak abad lalu akibat perdagangan cangkerang cantiknya untuk perhiasan dan barangan hiasan.
Penyu ini bersarang 3 hingga 5 kali dalam satu musim, dengan setiap sarang berisi hingga 200 biji telur. Telur ini menetas selepas inkubasi 2 bulan, dan betina biasanya memilih pantai bervegetasi untuk bersarang di bawah teduhan.
Penyu Karah, dengan kepala tirus dan paruh tajam seperti burung helang. Ia mudah untuk mencari makanan di celahan terumbu karang dan hampir sepenuhnya memakan span laut.
Dianggap sebagai penyu tercantik kerana cangkerangnya yang berwarna-warni, Penyu Karah tinggal di terumbu karang, kawasan berbatu, lagun, hutan bakau, pulau lautan, dan pesisir cetek di perairan tropika.
Walaupun penyu merupakan spesies marin yang menakjubkan, ia kini berdepan pelbagai ancaman yang menjejaskan kelangsungan hidupnya. Antara faktor utama ialah pencemaran laut, tangkapan ikan secara tidak sengaja (bycatch), serta aktiviti pelancongan yang tidak terkawal di kawasan pesisir.
Lebih membimbangkan, penebangan pokok dan pembangunan pantai telah mengganggu habitat semula jadi penyu, menjadikan kawasan pendaratan untuk bertelur semakin berkurangan dari tahun ke tahun.
Penyu Belimbing merupakan antara spesies penyu yang paling terancam di Terengganu kerana habitatnya sering diganggu serta berdepan masalah penangkapan telur secara haram. Walaupun undang-undang telah dikuatkuasakan bagi melarang penjualan telur penyu, permintaan dalam kalangan masyarakat masih tinggi, sekali gus menjadi ancaman serius terhadap kelangsungan spesies ini.

Sampah plastik dan pencemaran kimia mengancam habitat penyu, di mana penyu sering tersangkut atau termakan plastik yang disangka makanan.

Penyu sering terperangkap dalam jaring ikan atau terkena peralatan memancing, yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.

Pembangunan kawasan pesisir pantai untuk pelancongan dan perumahan memusnahkan habitat bersarang penyu, mengganggu kitaran pembiakan semulajadi mereka.

Walaupun dilarang, telur penyu masih dijual secara haram dan dianggap sebagai makanan eksotik, mengurangkan peluang penyu untuk terus membiak.
Video: PKP Punya Pasal, Penyu Kembali ke Pantai Batu Buruk — kredit kepada pemilik video ML Studios.
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketiadaan manusia di pantai telah memberi ruang kepada penyu untuk kembali ke habitat asal mereka, termasuk di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Fenomena ini membuktikan bahawa apabila gangguan manusia berkurangan, penyu lebih berani mendarat dan bertelur seperti dahulu.
Situasi ini menekankan betapa pentingnya pemeliharaan ekosistem pantai dan kawalan aktiviti manusia bagi memastikan penyu terus hidup, membiak, serta berkembang biak dengan selamat di pantai Terengganu.
Kerajaan Terengganu bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat telah menjalankan pelbagai program pemuliharaan untuk melindungi spesies penyu.
Telur penyu dipindahkan ke pusat penetasan yang selamat untuk meningkatkan kadar penetasan dan melindungi telur daripada pemangsa.
Pusat maklumat dan program pendidikan di kawasan pelancongan memberikan kesedaran kepada pelancong mengenai kepentingan memelihara habitat penyu.
Pantai utama seperti Rantau Abang dan Pulau Redang dikawal semasa musim bertelur untuk mengelakkan gangguan oleh pelancong dan pembangunan yang boleh mengancam proses pembiakan penyu.

Sampah plastik di laut dan pantai perlu dikurangkan kerana penyu sering termakan plastik yang disangka makanan, yang boleh menyebabkan kematian. Aktiviti pembersihan pantai secara berkala dapat membantu mengurangkan risiko ini.

Cahaya buatan di sekitar pantai boleh mengelirukan anak penyu yang baru menetas. Mengurangkan pencahayaan pada waktu malam semasa musim bertelur membantu mereka menuju ke laut dengan selamat.

Kawasan pantai di mana penyu mendarat untuk bertelur perlu dilindungi daripada pembangunan yang boleh merosakkan habitat mereka. Ini termasuk menjaga pantai dari aktiviti pelancongan yang berlebihan, terutamanya semasa musim penyu bertelur.
Inisiatif ini adalah langkah penting dalam memastikan penyu terus selamat dan habitat mereka terjaga di Terengganu.

Terletak di Kerteh, pusat ini dikendalikan oleh WWF Malaysia bersama dengan pihak kerajaan dan Petronas. Ia menumpukan kepada pemuliharaan Penyu Agar dan Penyu Karah.
Lihat Lokasi
Rantau Abang terkenal sebagai kawasan sejarah penetasan penyu di Terengganu. Pusat ini memainkan peranan penting dalam pemuliharaan spesies Penyu Belimbing.
Lihat LokasiPenyu bukanlah haiwan biasa. Ia adalah warisan semula jadi yang sangat berharga.
Namun, jumlah penyu semakin berkurangan akibat pencemaran, pembangunan, dan aktiviti manusia. Justeru, usaha pemuliharaan perlu diperkukuh agar penyu kekal menjadi simbol kebanggaan negeri dan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.
Inisiatif Resorts World Kijal dengan kerjasama Pejabat Perikanan Negeri Terengganu. Ketik untuk main video.
Acara kemuncak Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism. Ketik untuk main video.
Penyu di Terengganu bukan sahaja menambah daya tarikan pelancongan tetapi juga sebahagian daripada ekosistem marin yang penting. Keunikan penyu, dari tempoh matang yang panjang hingga kemampuan kembali ke pantai asal, menjadikan ia spesies yang perlu dihargai.
Oleh itu, marilah kita bersama menjaga dan memelihara spesies penyu ini agar generasi akan datang turut berpeluang menyaksikan keindahan penyu di pantai Terengganu.
Jadikan Negeri Terengganu sebagai destinasi yang lestari untuk kehadiran penyu, kerana kelestarian alam adalah tanggungjawab kita bersama.